Follow

BOIKOT SALAH SATU CARA DAKWAH?

“Kami boikot! Kami boikot kenduri-kendaranya. Baru dia tahu apa akibatnya memusuhi masjid.”
“Memusuhi masjid?”
“Ya. Dia tidak pernah datang ke masjid. Solat Jumaat pun tidak datang apalagi solat lima waktu.”
Saya diam. Dalam hati tertanya-tanya juga, bolehkah hanya kerana itu seseorang dianggap memusuhi masjid.

“Tuan tahu latar belakang beliau?”
“Maksud ustaz?”
“Maksud saya, pekerjaannya, latar belakang pendidikannya, siapa ahli keluarga dan sebagainya.”
“Macam mana kami nak tahu. Dia jadi kera sumbang. Tidak pernah hadir majlis ilmu, mesyuarat khairat kematian dan kebajikan. Pendek kata menjenguk masjidpun tidak pernah.”
“Tetapi kalau kenduri dia jemput orang masjid tak?” tanya saya lebih lanjut.

“Kami Tolak Jemputannya.”
Sebenarnya saya hanya singgah di masjid dalam perjalanan ke selatan tanah air. Selalu juga saya singgah di situ. Biasanya, selesai solat saya bingkas meneruskan perjalanan. Tetapi kali ini sahabat yang memandu tidak berapa sihat. Jadi kami beri peluang dia berehat dan saya berkesempatan berbual-bual dengan ‘orang masjid’ di situ.

“Dia hanya hantar anaknya untuk menjemput kami. Dia ingat kami teringin sangat makan kenduri di rumah besarnya itu?” balas lelaki separuh umur. Dia orang kuat masjid itu. Saya difahamkan dia ialah pengerusi masjid.
Saya senyum. Marah benar nampaknya orang masjid kepada lelaki yang dimaksudkan.
“Bila kejadian itu berlaku?”
“Kejadian apa?” tanyanya semula.

Saya tersenyum. Payah hendak mencari bahasa yang tepat apabila berbual santai begitu.
“Maksud saya, sudah berapa lama masa berlalu sejak jemputan kendurinya?”“Dah enam bulan! Tetapi sebelum itu banyak kali juga jemputannya kami tolak mentah-mentah. Kami boikot! Biar dia insaf. Masa senang tidak ingat masjid. Masa nak kenduri kesyukuran, kenduri arwah, solat hajat baru ingat orang masjid. Sudah terdesak baru ingat masjid.”

“Sejak tu ada tak dia datang? Dia insaf tak?” tanya saya. Dalam hati terasa bersalah juga menggunakan ayat ‘dia insaf tak?’. Seolah-olah melabel, menghukum. Sedangkan soal insaf atau tidak itu soal hati. Soal hati hanya Allah yang tahu.
“Masih begitu-begitu juga. Degil! Jahil!”
“Ertinya boikot tuan-tuan tidak berkesan.”
“Orang dah jahil. Buat apa pun tak berkesan,” ujarnya sambil mencemik.

“Saya cadangkan ubah taktik, tukar strategi. Mungkin boleh berkesan,” cadang saya.

Masa masih panjang. Sahabat saya yang tidak sihat masih tenang berbaring dan melunjurkan badan. Masa yang ada ini ingin saya manfaatkan untuk berdakwah.
Berdakwah kepada orang masjid tentang cara berdakwah. Saya sendiri pernah tersalah dan khilaf memahami sasaran dakwah. Hikmah dalam berdakwah ialah gabungan ilmu dan pengalaman. Dan pengalaman boleh ditambah dengan perkongsian. Bukan mengajar, tetapi mengajak. Dont tell, but show!
“Strategi apa? Taktik yang bagaimana?”

Saya masih ingat pesan orang yang bijaksana, jika kita tidak menukar cara berfikir dan cara pandang kita dalam menghadapi masalah, maka masalah itu tidak akan dapat diselesaikan. Perlu tukar cara berfikir dan membuat tanggapan, insya-Allah baru kita akan mendapat hasil yang berbeza. Tetapi jika cara berfikir tetap sama, maka kita akan dapat hasil yang sama walaupun telah mencuba berkali-kali.

“Jika ada jemputan lagi daripada dia, pakat ramai-ramai pergi. Penuhi jemputannya.”
“Tak logik. Lagilah dia akan naik kepala. Dah boikotpun masih degil. Apalagi kalau kita layan. Saya rasa taktik ini tidak berkesan.”
“Tidak salah kalau kita mencuba, kan?” ujar saya terus mencuba.
Sayangnya saya hanya musafir yang singgah. Jika saya ahli kariah mahu rasanya menziarahi ‘beliau’ yang dimaksudkan itu.

“Apa yang perlu dilakukan ketika memenuhi jemputan itu?”
Tiba-tiba seorang lelaki di sebelahnya menyampuk. “Soalan yang bagus,” detik hati saya.
“Macam biasa. Makan-makan, berdoa kemudian bersembang-sembang. Dalam sembang itulah kita selitkan ilmu dan peringatan. Mudah-mudahan kalau dia tidak ada ilmu, dapat kita buat pengisian. Kalau dia ada ilmu tetapi terlalai, jadi peringatan. Yang penting perlu bina jambatan!”

Saya teringat satu ilmu dakwah yang saya terima daripada seorang guru di sebuah sekolah yang terkenal bermasalah. Namun guru tersebut sangat disukai para pelajar. Banyak kali dia menyelesaikan masalah disiplin pelajarnya.

Apabila saya bertanya tentang kaedahnya berdakwah, dia berkata, “Dalam dakwah kepada pelajar-pelajar ini saya guna tiga langkah. Pertama salam, beri salam. Kedua ta‘am, ajak makan-makan dan ketiga kalam, baru kita bercakap dengannya.”
Taktik inilah yang saya cuba kongsi bersama orang masjid di hadapan saya sekarang.

“Bina jambatan? Apa maksud ustaz?” tanya salah seorang daripada mereka. Ingatan saya terputus, dan kembali fokus kepada perbualan yang sedang rancak ini.
“Bina jambatan. Selama ini kita bina tembok. Jambatan menghubungkan, tembok memisahkan. Dalam dakwah perlu kita bina jambatan bukan bina tembok. Kita perlu interaksi bukan konfrontasi.”

“Bagus juga,” balas lelaki yang menyampuk tadi. Namun lelaki yang pertama masih memandang sinis. Mungkin masih sangsi agaknya.
“Dalam sembang-sembang santai itu nanti kita akan mengetahui latar belakangnya. Tahap mana kefahaman agamanya. Kadangkala, dia akan bercerita tentang hambatan dan masalah hidupnya. Siapa tahu selama ini bukan kerana dia memusuhi masjid tetapi kerana dia malu, segan, rasa rendah diri dengan orang masjid atau hal-hal lain.”

“Kita perlu cepat. Kalau macam tu habis masa. Kita perlu dakwah yang berkesan.”
“Betul,” ujar saya, “… tetapi dakwah hanya menyampaikan. Soal berkesan atau tidak terpulang kepada Allah. Kita selalu nak orang yang kita seru cepat berubah… itu tidak tepat. Selama ini dengan menggunakan strategi boikot pun dia masih tidak berubah. Panjang juga masa yang kita ambil dalam strategi boikot ini kan?”
Mereka diam.

“Manusia ini masalahnya macam-macam. Jalan hidup mereka juga rencam. Pendakwah mesti ambil langkah memahami kemudian baru difahami. Ada yang beranggapan untuk menjadi pendakwah perlu pandai bercakap. Ya, ada benarnya. Tetapi sebenarnya, menjadi pendakwah perlu pandai mendengar. Bukan hanya pandai tetapi perlu banyak mendengar. Dengan banyak mendengar kita akan memahami. Setelah memahami barulah kita akan difahami.”

“Bagaimana kita hendak difahami kalau tidak bercakap, asyik mendengar sahaja, mana orang faham.”

Saya tersenyum. Tidak syak lagi dakwah bukan sahaja memerlukan hati yang ikhlas tetapi juga pendekatan yang profesional. Inilah yang dimaksudkan bil-hikmah, mau‘izah al-hasanah dan jadilhum billlati hiya ahsan.

“Apabila kita dahulu menjadi pendengar yang baik, insya-Allah lama-kelamaan ruang dan peluang untuk kita memperdengarkan pula kata-kata kita akan terbuka. Sewaktu itu dia akan mendengar dengan rela. Dalam komunikasi bersama sasaran dakwah kita, elakkan keadaan seperti dalam perlumbaan. Perlumbaan bercakap. Itu tidak baik. Yang baik, mendengar bukan untuk membalas tetapi mendengar untuk memahami. Insya-Allah komunikasi akan jadi sebagai satu perkongsian, bukan perlumbaan,” kata saya.

“Lambat, kita tidak cukup masa.”
“Betul. Sebab itu berdakwah perlu pengorbanan. Pengorbanan masa,” balas saya.
Ahli masjid yang lain mengangguk-angguk. Saya berdoa agar cakap saya itu difahami lebih tepat dan lebih baik daripada apa yang telah saya sampaikan.

Sebenarnya saya risau juga mendengar aduan-aduan masyarakat sama ada yang disuarakan secara berdepan atau cuma dibisikkan di belakang-belakang tentang ‘kerenah’ orang masjid.

Ada yang rajin ke masjid, setiap lima waktu tetapi tidak bertegur sapa dengan jiran sebelah rumah. Jiran sakit, jiran sempit dan tidak dipedulikan. Apa yang difikirkannya hanya hubungannya dengan Tuhan, padahal hubungan dengan Tuhan adakala perlu melalui hubungan sesama insan.

Ada yang rajin ke masjid, tetapi bengis dengan isteri. Saya masih ingat cerita yang saya dengar daripada Allahyarham Mantan Mufti Wilayah Persekutuan; Dato’ Hashim Yahya, tentang seorang suami yang berserban dan berjubah, konsisten datang berjemaah di masjid tetapi pantang isterinya silap sedikit, penampar dan sepak terajangnya pun singgah. Itu belum dikira ahli masjid yang berang dan memaki-maki apabila ada yang salah meletakkan kenderaan di hadapan rumahnya.

Saya sentuh perkara ini bukan bermakna majoriti orang masjid perangainya begini. Tidak! Lebih ramai yang lunak, mesra dan sedia membantu. Namun dalam era orang suka menghentam agama ini, kita tidak boleh membiarkan kerenah orang masjid yang segelintir itu dijadikan modal untuk menyerang agama. Agama selalunya diserang kerana kelemahan dan kesalahan orang agama.

“Apa nasihat akhir ustaz?” pinta seorang lelaki yang lain, apabila melihat saya menoleh ke belakang melihat sahabat saya yang kurang sakit tadi telah bangun. Dia tahu saya akan meneruskan perjalanan sebentar lagi.

“Nasihat saya buat diri sendiri dan kita yang telah Allah beri hidayah dapat datang ke rumah Allah ini. Jadilah contoh yang baik dengan menunjukkan akhlak yang mulia. Insya-Allah, orang akan tertarik.

Kalau dulu kita pemarah, kita berubah jadi sabar dan penyayang. Dahulu tidak pembersih, sekarang sudah jadi pembersih. Orang yang melihat akan bertanya, apa rahsia kita jadi begitu? Pada waktu itulah peluang untuk kita menerangkan bahawa itulah hasil istiqamah ke masjid.

Masjid umpama kilang memproses hati dan diri manusia untuk jadi baik. Waktu itu kita ajak sedikit sahaja, maka berduyun-duyun orang yang akan datang. Mereka lihat impak. Itulah dakwah ‘bil hal’ (teladan) bukan dakwah ‘buat hal’,” terang saya panjang.

Kami sama-sama tersenyum. Saya dan sahabat meneruskan perjalanan dan mereka kembali ke dalam masjid. Ya, selalu dikatakan perjalanan ke masjid bukan ditentukan oleh langkah kaki, tetapi langkah hati. Dan hati itu dilunakkan dengan kasih sayang. Dengan pujukan, bukan kutukan. Dengan membina jambatan, bukan tembok!

gentarasa.wordpress.com/2019/1

Sign in to participate in the conversation
Qoto Mastodon

QOTO: Question Others to Teach Ourselves
An inclusive, Academic Freedom, instance
All cultures welcome.
Hate speech and harassment strictly forbidden.