Follow

PENGHIBUR YANG TIDAK TERHIBUR

Menurut Islam, hiburan diperlukan. Tetapi ia diperlukan dalam kuantiti yang sedikit. Maksudnya, umat Islam tidak memerlukan hiburan yang banyak apatah lagi berlebihan. Umat Islam memerlukan hiburan dalam kuantiti yang sedikit seperti kuantiti garam di dalam masakan. Perlu memang perlu, tetapi hanya sedikit. Tanpa garam, masakan akan hilang keenakannya, namun kalau  kelebihan garam, akan rosaklah makanan.

Mengapa umat Islam memerlukan hanya sedikit hiburan? Ini kerana jika semua tuntutan ajaran Islam  dilaksanakan, umat Islam akan terhibur secara otomatik. Islam itu sendiri bermakna sejahtera, maka mengamalkan keseluruhan ajaran Islam akan memberikan segala unsur yang membawa kepada kesejahteraan seperti hiburan, ketenangan, keseimbangan dan lain-lain.

Justeru, dalam ajaran Islam ada dua bentuk hiburan. Pertama, hiburan asasi. Kedua, hiburan sampingan. Kedua bentuk hiburan ini boleh juga diumpamakan seperti makanan. Ada makanan asasi, seperti nasi, ikan dan daging. Ada makanan sampingan seperti kueh-mueh, kek, coklat dan gula-gula.

Dalam ajaran Islam hiburan asasi itu seperti iman, solat, membaca Al Quran, zikrullah, berselawat dan lain-lain ibadah asas dan ibadah sunat.  Jika seseorang benar-benar beriman, jiwanya akan terhibur.  Tidak akan ada  yang boleh menjejaskan ketenangan hatinya.

Jika diuji dengan nikmat, dia syukur. Jika diuji dengan kesusahan, dia sabar. Sabar dan syukur itulah hiburan sejati kepada orang yang beriman. Iman akan menghilangkan rasa bimbang, takut, sedih dan kecewa dengan hal-hal dunia.

Begitu juga dengan solat. Ia adalah satu kerehatan pada jiwa. Bayangkan dalam solat orang beriman akan dapat merayu, mengadu, merintih dan mengharap kepada Tuhan yang Maha Kuasa, maha Penyayang dan Maha Mendengar. Solat adalah satu bentuk hubungan rasmi antara manusia yang menimbulkan rasa didengari, dibela, dibantu dan disayangi oleh Tuhannya. Jadi, tidak syak lagi solat itu adalah satu hiburan yang asasi.

Iman dan solat hakikatnya penghantar hati manusia untuk dekat dengan Allah. Apabila manusia dekat dengan Allah, dia akan mendapat ketenangan yang hakiki dan sejati. Hanya dengan kembali kepada Allah hati akan mendapat ketenangannya yang hakiki. Firman Allah:“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan tenang – Ar Ra’d:28”

Apabila hati telah tenang ia akan mendapat hiburan apabila menyembah Allah. Sabda Rasulullah saw:“Wahai Bilal, tenangkan kami dengan solat.” 

Dengan iman dan solat, seseorang akan puas dan terpesona dengan apa yang dirasainya. Ia umpama orang yang sudah kenyang makan nasi yang sangat enak, maka apakah dia perlu lagi makanan sampingan yang banyak? Maka begitu umat Islam sewajarnya, jika dia telah tenang dan terhibur dengan hiburan asasi maka dia hanya memerlukan sedikit sahaja hiburan sampingan.

Baiklah, apakah pula hiburan sampingan dalam Islam? Ia adalah hiburan-hiburan yang membantu manusia berhibur dengan hiburan asasi. Ia hanya umpama ‘epitiser’  atau pemangkin sahaja ke arah pengamalan dan penghayatan hiburan sejati. Nasyid, burdah, berzanji atau apa sahaja bentuk hiburan yang dihalalkan dalam Islam berfungsi membawa manusia kembali kepada Allah (hiburan asasi dan sejati).

Nasyid misalnya, adalah pemangkin untuk menyemarakkan hiburan yang asasi dan hakiki yang mesti diperolehi oleh seorang muslim melalui solat, zikir, Al Quran, doa, munajat, taubat, sabar, syukur dan lain-lain sifat mahmudah. Ya, solat adalah hiburan sejati, manaka nasyid mengajak orang bersolat cuma mewar-mewarkan  kepentingan solat.

Hanya apabila pendengar benar-benar bersolat, insya-Allah mereka akan menikmati hiburan yang lebih tinggi dan asyik dari nasyid tentang solat. Inilah hiburan yang digambarkan sendiri oleh Rasulullah saw melalui sabdanya: “Sejuk mataku di dunia dengan solat.”

Justeru, nasyid hanya bertindak sebagai ‘pengajak’  atau ‘pengiklan’  kepada hiburan-hiburan asasi. Oleh itu janganlah hendaknya kita terkeliru akan hakikat hiburan sejati sehingga masyarakat menganggap ‘iklan’  (hiburan sampingan) lebih penting dari apa yang diiklankan (hiburan asasi).

Di samping hiburan asasi dan hiburan sampingan, ada satu lagi jenis hiburan yang perlu disedari – hiburan melalaikan! Hakikatnya, ia bukan hiburan. Ia hanya perkara yang melalaikan atau melalikan. Ia umpama pil  ‘pain killer’ yang fungsinya bukan untuk mengubat penyakit tetapi hanya menahan rasa sakit buat sementara waktu dan apabila kesan ubat itu hilang, rasa sakit akan kembali lagi kerana punca penyakit tidak diubati.

Malangnya hiburan yang melalaikan inilah yang sangat diminati dalam dunia masakini. Lagu, filem, muzik dan lain-lain jenis hiburan masakini adalah dari jenis hiburan yang melalaikan. Masyarakat moden yang tertekan, stres dan bosan menjadi penagih hiburan ‘pain killer’ ini tanpa menyedari hati, fikiran dan emosi mereka bukan semakin terubat malah semakin parah akibat hiburan yang melalaikan ini.

Manusia hari ini ‘menikmati’ hiburan yang melalaikan seumpama meminum air laut. Oleh kerana tekak sangat dahaga, air laut terus diminum… Namun sia-sia, semakin diminum semakin haus jadinya. Maka begitulah manusia yang gilakan hiburan dewasa ini, beralih daripada satu lagu, dari satu filem ke satu filem, tetapi ketenangan yang hakiki dan abadi tidak juga ditemui. Dahaga cuma hilang sekejap, kemudian datang lagi rasa dahaga yang lebih dahsyat daripada sebelumnya!

Dunia kapitalis telah mengeksploitasi keadaan ini. Demi meraih keuntungan berlipat ganda kaum pemodal telah menjadikan hiburan melalaikan ini sebagai sumber komoditi yang melahirkan industri filem dan lagu yang kaya raya. Mereka hakikatnya meraih keuntungan yang berlipat ganda hasil sifat ketagih manusia terhadap hiburan yang melalaikan. Atas nama kreativiti dan inovasi pelbagai produk yang melalaikan terus mewarnai industri hiburan dari semasa ke semasa.

Hiburan yang melalaikan ini kebanyakannya berpaksikan kebatilan dan kemungkaran. Ia menyuburkan keinginan nafsu buas manusia yang tidak pernah puas dan tidak ada batas. Ia bukan sesuatu yang fitrah. Sebaliknya ia adalah satu fitnah yang telah banyak merosakan akidah, syariat dan akhlak Islamiah.

Apakah bukti hiburan melalaikan utu tidak menghiburkan? Jawabnya mudah, para penghibur itu sendiri tidak terhibur! Ramai diantara mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, ketagihan arak,  sakit jiwa, rumah tangga cerai-berai, diselubungi oleh pelbagai skandal,  dan sudah ramai juga yang membunuh diri. Ironinya, mereka dinobatkan sebagai penghibur… penghibur yang tidak terhibur?

Semua ini membuktikan para penghibur ini tidak terhibur. Logiknya, jika mereka sendiri tidak terhibur maka hiburan apakah yang mereka berikan kepada manusia lain? Ya, mereka bukan menghiburkan tetapi mereka hanya melalaikan. Akibatnya, mereka merosakan diri mereka sendiri sekaligus merosakkan orang lain.

gentarasa.wordpress.com/2019/1

Sign in to participate in the conversation
Qoto Mastodon

QOTO: Question Others to Teach Ourselves
An inclusive, Academic Freedom, instance
All cultures welcome.
Hate speech and harassment strictly forbidden.