Show more

ANGKARA PROGRAM REUNION: SELINGKUH DENGAN ISTERI/SUAMI ORANG

Sebelum Subuh tadi, sementara menunggu azan, saya berbual dengan seorang sahabat lama di surau penempatan kami.  “Ustaz, seorang sahabat rapat saya sedang menghadapi masalah,” katanya.  Lalu dia pun mula bercerita. Tujuannya, bukan sekadar bercerita, tetapi ingin mendapat sedikit pandangan untuk membantu sahabatnya itu.

Menurutnya, masalah bermula apabila isteri sahabatnya itu menghadiri majlis tautan semula (‘re-union’) sekolah menengah bersama rakan lelaki dan perempuan lamanya.

Daripada situ, dia dan kawan-kawan membuka  ‘wassap group’ yang juga bercampur lelaki dan wanita. Tidak lama kemudian isteri kepada sahabat itu diajak ‘bercatting’ oleh seorang lelaki daripada ‘group wassap’ itu. Lalu hubungan pun bermula. Mereka pada mulanya hanya bertanya khabar, bertukar-tukar maklumat tentang keluarga ( tentang suami atau isteri masing-masing serta anak-anak), berkongsi maklumat tentang hobi dan minat masing-masing. Kemudian melarat kepada isu semasa dan lain-lain perkara berbentuk ‘human intrest’.

Saya hanya mendengar. Kebetulan ada entri terbaru dalam FB saya ada menyentuh perkara itu, tapi pendekatan saya lebih umum. Kembali kepada cerita sahabat saya itu… Lama-kelamaan hubungan antara kedua ‘isteri dan suami orang’ tersebut semakin intim. Pendek kata, akhirnya terjadilah hubungan cinta menerusi ‘khalwat alam maya’.

Dipendekkan cerita, isteri kepada teman saya itu bertindak meninggalkan suaminya dan berkahwin secara poligami dengan teman ‘cattingnya’. Kahwin tidak salah, tetapi perkahwinan yang terhasil oleh khalwat alam maya dan menyatakan keinginan berkahwin dengan isteri orang adalah haram di sisi Islam. Lelaki malang teman kepada sahabat saya itu, ‘putih mata’ – bukan sahaja kehilangan isteri, malah hilang kereta, rumah dan lain-lain aset yang diletakkan atas nama isterinya juga turut melayang.

Awas apabila pasangan anda berhubung dengan lelaki/isteri. Perbualan itu mungkin dimulakan dengan sekadar bertanya khabar. Contohnya, apa khabar? Saya masih ingat awak, kita kan satu kelas, awak jadi pengerusi dan saya jadi timbalannya. Ingat tak?

Lepas berkenalan, mula timbul usik mengusik, bergurau. Akhirnya muncul kata-kata seperti ini, “seronok berbual dengan awak,”hilang stres bila dengar suara awak” awak ni jokelah orangnya”.”Suami saya susah diajak santai macam ni.” “isteri saya sporting.”

Ketika itu berlakulah selingkuh atau curang terhadap pasangan sah masing-masing. Perbuatan ini satu dosa. Mungkin ada setengah pihak beranggapan mana boleh ini dikatakan selingkuh? Kami belum buat apa-apa pun. Kami hanya berbual, tak ada apa-apa ‘body contack’’ pun. Ini bukan selingkuh!

Betul, belum terjadi selingkuh badan.  Tetapi berlakulah apa yang dikatakan ‘selingkuh minda’ dan ‘selingkuh perasaan’. ‘Selingkuh minda’ itu ialah apabila ada orang lain yang dirasakan lebih hebat, lebih mampu, lebih penyayang berbanding pasangannya sendiri.

Justeru, apabila ada masalah besar, dia lebih suka berkongsi dengan teman selingkuhnya berbanding suami sendiri. Atau di samping suami, ada masalah-masalah lain yang mula dikongsi bersama teman selingkuhnya tanpa pengetahuan suami. Begitulah jua kepada isteri yang selingkuh.

Secara tidak sedar dia  mengambil orang lain sebagai sandaran atau sumber kekuatan menghadapi sesuatu masalah. Suami tidak lagi ‘besar’ di hati isteri, teman cattingnya secara tidak sedar mengambil tempat itu. Bagi suami pula, isteri yang sah tidak lagi yang ‘teristimewa’ tempat itu diganti oleh wanita yang bersifat ‘lebih mesra’ di hatinya. Inilah yang dikatakan selingkuh minda.

‘Selingkuh perasaan’ pula ialah merasa seronok, ceria dan ‘feel good’ apabila ‘bercatting’ dengan teman selingkuhnya. Terasa hidupnya kembali berwarna-warni. Terasa indah mengimbau nostalgia lama, mengharap dalam hati agar perbualan maya itu akan berlangsung dalam tempoh (diurasi) yang lama,  dan sentiasa menanti atau ‘mencipta’ peluang atau kesempatan untuk ‘bercatting’ pada waktu terdekat. Anehnya, dia lebih selesa dan seronok berbual dengan teman selingkuhnya berbanding suami atau isteri sendiri.

Dalam Islam berbual dengan individu bukan mahram, adalah HARAM kecuali dalam hal-hal yang dibenarkan syariat. Rujuklah pandangan para ulama – Buya Yahya,  ustaz Azhar Idrus dan berbagai-bagai lagi ulama, semuanya mengatakan perbuatan lelaki catting dengan isteri orang atau suami orang ialah haram.

Berikut saya sertakan tajuk-tajuknya,  ‘searchlah’ di youtube : Istri suka chatting dengan lelaki lain Buya Yahya Menjawab, Hati Hati Ikut Group WA Reuni Buya Yahya, Apakah telefon Dengan Lawan Jenis Termasuk Zina?  Buya Yahya Menjawab, Hukum Chat Dengan Bini Orang Facebook oleh Ustaz Azhar Idrus.

Tegasnya, jika dua orang bukan mahram sedang berada di ruang tertutup, yang bicara dan perbuatan mereka hanya mereka berdua sahaja yang tahu, maka syaitanlah pihak yang ketiga. Inilah dikatakan khalwat di alam maya. Hukumnya, sama dengan khalwat di alam nyata JIKA perbualan, suara dan perkara yang diperbualkan boleh menjurus sedikit demi sedikit ke arah ‘mendekati zina’ – zina telinga, harapan, cita-cita dan bayangan.

Ada pihak menolak hukum ini dengan beranggapan itu semua hanya berbual untuk suka-suka, basa basi, bercanda, mengeratkan persahabatan dan motif kami sama sekali bukan untuk bercinta.  Apa sahaja niat dan alasannya, itu semua tidak menghalalkan kaedahnya. Banyak lagi cara yang dihalalkan syariat, yang masih ada untuk mencapai maksud tersebut. Tetapi bukan dengan cara berkomunikasi terus tanpa pengetahuan orang yang paling berhak atas wanita atau lelaki  tersebut (yakni suami dan isteri mereka masing-masing).

Ada pihak beralasan, mengapa perlu  ketat sangat peraturannya? Tak bolehkah ‘bercatting’ hanya untuk bersuka-suka, mengimbau kenangan lama? Haram tetap haram. Syaitan tidak pernah lupa untuk menyesatkan manusia, tapi manusialah yang kerap lupa bujukan syaitan. Ya, memang mula-mula sekadar berkongsi nostalgia… tapi selepas itu mula mengusik rasa. Lalu terjadilah dialog seperti, “ingat tak masa itu, awak orang paling sweet sekali dalam kelas,” “masih ingat waktu tu semua heboh saya sukakan awak.”

Soalnya, apa perlunya, semua itu? Apa tujuannya? Penting sangatkah hendak bersuka-suka dengan cara yang boleh dipengaruhi syaitan hingga mendekati zina?  Re-union ini kebanyakan dihadiri oleh wanita dan lelaki telah berusia. Pada hakikatnya masa sudah semakin senja. Mungkin ajal akan datang dalam masa yang terdekat.

Tidak ada masa lagi untuk perkara-perkara yang remeh, hanya untuk bersuka-suka, sia-sia malah berdosa. Rasululllah pernah mengingatkan, “jika kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa.” Hasan Al Banna berkata, “ sesungguhnya kerja Islam kita lebih banyak daripada umur yang kita ada.”

Berdua-duaan di alam maya boleh jadi lebih berbahaya kerana apa yang segan atau malu diluahkan dengan kata, lebih mudah disampaikan tanpa bersemuka. Tabir malu tidak terasa lagi. Kata-kata jadi rancak, dengan selang seli ‘emoji’ yang menambah keserasian perasaan. Bukankah satu gambar lebih bernilai daripada seribu kata-kata?

Daripada hanya itu, meleret lagi ke tahap yang lebih mesra dengan menghantar gambar foto. Mula-mula foto aktiviti, kemudian melarat kepada foto-foto peribadi. Akibat hasutan syaitan, isteri orang pun sanggup memberi gambarnya kepada lelaki lain. Malunya sudah carik sedikit demi sedikit.

Ingat, petanda lain yang ‘catting’ melalui message telegram, wassap, perbualan telah dirasuki syaitan, ialah jangka masa berbual jadi semakin lama, nada suara atau kata-kata bertambah mesra, rindu untuk bercatting sudah berbunga, dan masing-masing semakin berahsia dengan pasangan masing-masing. Mereka yang khianat terhadap pasangan masing-masing ini semakin takut sekiranya isi perbualan, gambar-gambar, emoji dan lain-lain diketahui oleh pasangan masing-masing.

Mereka jadi semakin berahsia, dengan alasan mereka bukan menyembunyikan (hanya tidak memberitahu)!  Lagipun bukan ada cinta, bukan ada lucah…cuma biasa-biasa.

Padahal, jika diminta oleh pasangan masing-masing untuk ‘membentangkan’ seluruh isi perbualan dalam sesi catting mereka, mereka tidak akan mampu berbuat demikian. Mereka akan rasa bersalah, rasa malu, rasa berdosa, rasa mengkhianati, sekiranya pasangan mengetahui secara terperinci apa yang mereka ‘cattingkan’. Rasa-rasa itulah sebenarnya bukti mereka telah melakukan dosa dan sudah dibelenggu oleh rasa bersalah. Tapi semua itu terus dilakukan justeru manisnya dosa.

Tetapi Allah Maha Mengetahui. Di dunia lagi rahsia boleh terbongkar, apalagi di akhirat kelak. Bagi lelaki yang mengganggu isteri orang, takutilah hadis ini: ““Bukan dalam golongan kami (umat Nabi Muhammad) orang yang merosakkan ikatan seseorang isteri dengan suaminya.” (hr abu daud: 2175). Dosanya bukan dosa kecil, tapi dosa besar.

Bertaubatlah, kerana dosa itu bukan sahaja kepada Allah tetapi kepada suami atau isteri masing-masing. Khususnya buat isteri yang selingkuh, ambillah peringatan ini daripada kisah ini:

Pada Suatu hari, Situ Fatimah telah mengatakan sesuatu tanpa disengajakan kepada Saidina Ali (suami kepada Siti Fatimah) dan perkataan itu telah membuat Saidina Ali r.a berkecil hati dan tergores hatinya. Saidatina Fatimah menyedari bahawa ia telah berdosa kepada suaminya, (kerana takut dilaknat oleh Allah sepanjang malam) maka saidatina Fatimah segera meminta maaf berulang-ulang kali kepada suaminya, Saidina Ali r.a.

Melihat wajah Saidina Ali tak juga berubah, maka Saidatina Fatimah berlari-lari kecil di sekitar Ali. Sebanyak 7 kali ia ‘tawaf’ sambil merayu-rayu mohon untuk dimaafkan (ada riwayat mengatakan sehingga 70 kali). Melihat tingkah isterinya saidatina Fatimah di hadapannya, Ali tak dapat menahan senyum. Kemudian ia tersenyum dan memaafkan kesalahan isterinya.

Berita itu sampai kepengetahuan Rasulullah S.A.W, lantas Rasulullah berkata pada puterinya (saiyidatina Fatimah): “Wahai Fatimah, kalaulah di kala itu engkau mati sedangkan suami mu tidak memaafkan mu, nescaya aku tidak akan menyembahyangkan jenazah mu.”

Sabda Rasulullah SAW: “Wanita mana saja yang meninggal dunia, kemudian suaminya Reda terhadapnya, maka ia akan masuk ke Syurga”. (HR Ibnu Majah, dan di hasankan oleh Imam Tirmidzi).   Dengan menyembunyikan hubungan terlarang (apalagi memohon maaf kepada suami, apakah wanita itu boleh mendapat keredaan suaminya?

Lihatlah bagaimana para Solehin begitu menjaga soal hubungan antara lelaki bukan mahram dengan wanita bukan muhrim. Contohnya, sejak Sayyidina Umar dimakamkan di sisi Rasulullah SAW, Siti Aisyah akan masuk ke ruang rumahnya (di mana jasad bapa dan suaminya dimakamkan) dengan menutup aurat.

Begitulah ibu kita (ummmahatul Mukminin)  menjaga batas auratnya walaupun kepada Sayidina Umar yang telah meninggal dunia. Begitu juga, tuan pasti tahu, bagaimana ibu-ibu kita berbicara dengan para sahabat dipisahkan oleh tabir, walaupun bicara mereka adalah ilmu dan iman mereka begitu kukuh. Sayidina Ali RA berkata, “Taqwa itu ialah meninggalkan perkara yang tidak apa-apa kerana takut terjadi apa-apa.”

Ada tiga peringkat hati manusia yang telah dipengaruhi syaitan dalam melakukan dosa. Inilah yang berlaku semasa berlakunya ‘catting’ yang berdosa itu. Peringkat itu ialah:

Rasa bersalah.

Pada peringkat ini, ‘suami atau isteri orang’ berkenaan masih  ada sedikit rasa bersalah kerana berbual di luar keperluan syariat dan pengetahuan pasangan masing-masing. Tetapi rasa bersalah itu dilawan oleh alasan, hanya ingin menghilang stres, mengundang ceria kerana mengenang nostalgia lama. Lagipun, bukan adalah unsur lucah dan cinta terlarang. Hanya kemesraan seorang kawan – teman tapi mesra.

Rasa biasa.

Rasa berdosa telah mula hilang. Bisa dosa tidak berdenyut lagi, alah biasa justeru kerap berhubung. Subjek perbualan pun mula berubah, daripada hanya bertanya khabar, berkongsi maklumat tentang keluarga masing-masing dan isu-isu semasa kepada aktiviti-aktiviti peribadi dan perkongsian yang lebih bersifat lebih personal. Mula ada ayat-ayat seperti ‘nampak bahagia betul awak bersama suami’, ‘isteri awak nampak muda dan cantik’, ‘awak ada apa-apa masalah?’ ‘best hobi awak ya?’ ‘Awak berkahwin dulu suka sama suka ya?”  dan sebagainya. Inilah contoh kata-kata yang ‘memancing’ untuk pergi ke fasa yang lebih serius.

Rasa manis.

Ini sudah berada di tahap berbahaya. Tidak ada rasa berdosa, bukan lagi sudah terbiasa, malah sudah rasa manis dengan dosa. Daripada perkongsian maklumat, sudah meningkat kepada perkongsian rasa. Diurasi perbualan menjadi lebih lama, subjek jadi lebih intim, dan kali ini keduanya jadi lebih berani untuk meluahkan masalah perkahwinan, ‘kekurangan’ pasangan masing-masing dan masalah-masalah lain. Rasa ingin ‘bersandar’ dan ‘berharap’ sudah mula timbul kerana merasakan teman selingkuh itu lebih hebat daripada suami atau isteri sendiri. Ketika inilah terjadinya selingkuh minda dan selingkuh perasaan yang disebutkan tadi.

Rasa rindu (ketagih).

Rasa rindu dan ketagih untuk berhubung sudah mula timbul. Jika tidak berhubungan terasa ‘kekosongan’. Ketika ini, mereka mula mencari-cari jalan untuk bersunyi-sunyi daripada isteri atau suami sendiri, untuk bebas berhubungan dengan teman selingkuh. Telefon bimbit mula sentiasa berada berdekatan, ‘notification’ oneline dan bunyi tertentu sudah dikhususkan untuk teman selingkuh. Mereka yang sampai ke tahap ini tidak akan berenggang dengan telefon bimbit. Dan mereka selalu menukar ‘password’ agar tidak dapat dibuka oleh suami atau isteri masing-masing.

 

Antara tanda-tanda fasa ini sedang dilalui oleh suami atau isteri yang selingkuh ialah:

Hubungan seks dengan suami atau isteri yang sah akan meningkat secara drastik atau menurun secara mendadak. Mengapa meningkat? Kerana dia sudah oleh membayangkan teman selingkuhnya ketika berhubung intim dengan suami atau isteri sahnya. Jadi ‘semangat’ libidonya naik tiba-tiba. Dia mula membayangkan rupa, badan, suara teman selingkuhnya ketika di ranjang.

Menurut majoriti ulama, hukum membayangkan lelaki dan wanita bukan suami atau isteri semasa melakukan hubungan seks adalah diharamkan. Terutamanya jika ia dijadikan kebiasaan, nafsunya terhadap isteri atau suaminya akan semakin pudar dan beralih kepada si lelaki dan wanita luar yang diharamkan buatnya, maka secara mudahnya ia diharamkan kerana tergolong dalam “Muqaddimat az-Zina” atau jalan-jalan permulaan kepada pelakuan haram zina.

Disebutkan oleh para ulama bahawa :”kerana mata itu berzina, dan zinanya adalah pandangan yang haram, dan minda juga berzina dan zinanya adalah membayangkan yang diharamkan.”

Justeru mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali menanggapnya adalah salah satu bentuk zina. Sama juga haramnya minum air kosong sambil dibayangkan minuman arak. Demikian yang disebutkan oleh Ibn Al-Haj Al-Maliki (Al-Madkhal) , Ibn Abidin Al-Hanafi, Ibn Al-Mufleh Al-Hanbali ( Dipetik dari kitab Ar-Ri’ayah al-Kubra oleh Ibn ‘Aqil).

Malah hal sebaliknya boleh berlaku, yakni  perlakuan selingkuh menyebabkan hubungan seks  dengan pasangan yang sah akan jadi menurun kerana membayangkan begitu jauh beza suami atau isteri yang sedang ‘bersamanya’ dengan teman selingkuhnya. Syaitan membayangkan teman selingkuhnya lebih kacak, lebih mengghairahkan dan sebagainya. Begitulah “rumput di sebalik sana lebih hijau!”

Mula menyebut atau mengeluarkan pandangan atau meluahkan masalah-masalah yang dibincangkan dengan teman selingkuh kepada pasangan masing-masing tanpa menyebut nama teman selingkuhnya itu. Dia mula memberi pandangan yang berbeza daripada kebiasaan. Atau dia mula menyentuh subjek yang berbeza, daripada apa yang selalu dibincangkan bersama suami atau isterinya sebelum ini.

Dia lalu menyerap pendapat teman selingkuhnya dan melontarkannya kepada suami atau isterinya. “Kemungkinannya hal itu adalah respons yang diberikan oleh teman selingkuhnya tentang hubungan mereka suami isteri. Dia mengambilnya dan menggunakannya untuk berhujah dengan anda,” ujar Saltz, seorang pakar psikologi. Misalnya, dia mula mempersoalkan, “kenapa tidak romantik?” “Kenapa tidak mencari sumber pendapatan lain?” “Berhentilah bekerja di situ” dan sebagainya.

Mula menjauh secara fizikal dengan pasangan.

Isteri atau suami yang selingkuh, akan mula menjauh daripada pasangan masing-masing. Jika disentuh secara romantik, dia menyambut secara hambar atau menepis secara ‘diplomatik’ dengan pelbagai alasan. “Saya letih”. “Saya tak da mood, banyak kerja””saya tidak sihat”.

Dan jika suami hendak bertugas di luar kawasan, isteri tidak lagi merasa sedih atau rasa kehilangan seperti dahulu. Sebaliknya,  dalam hatinya menyimpan rasa suka, kerana itulah peluang untuk melepaskan rindu bercatting dengan teman selingkuhnya. Hubungan semakin jadi semakin hambar dan tawar.

Dan perhatikan, jika suami atau isteri sahnya mula bersangka-sangka dan bertanya, perhatikan reaksinya. Jika dia menjadi sangat defensif malah agresif apabila kesalahannya ketahuan. Dia mula  menekankan berkali-kali yang dia tidak memiliki hubungan khusus dengan temannya itu, atau dia jadi sangat memaksa agar pasangannya percaya padanya. Boleh jadi dia mengamuk atau merajuk keterlaluan. Jika  itulah petandanya,  dia memang sudah terjerat oleh hawa nafsu dan syaitan!

Sabda Rasulullah SAW: “Dari Nawwas bin Sam’an Al Anshari, bahwa ia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan dan dosa. Maka baginda bersabda: “Sesungguhnya kebaikan itu adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa itu adalah apa yang menggelisahkan hatimu dan kamu benci jika manusia mengetahuinya.” (HR Ahmad No: 16975).

Seekor katak yang dimasukkan ke dalam air panas akan segera melompat keluar untuk menyelamatkan diri. Tetapi jika katak yang sama dimasukkan ke dalam air sejuk, lalu dipanaskan perlahan-lahan, ia akan mati kepanasan tanpa usaha melompat keluar. Begitulah kesan dosa yang dianggap tidak berdosa, ia akan menghancurkan iman secara perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, dan akhirnya menjahanamkannya terus tanpa sedar.

Dari Abu Said al-Khudri RH katanya: Nabi Muhammad SAW bersabda: Kamu semua akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal sehasta demi sehasta sehingga kalau mereka masuk ke lubang biawak sekali kamu tetap akan mengikut mereka. Kami bertanya adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Sabda Nabi SAW: Siapa lagi kalau bukan mereka?

Begitulah juga rasa malu seorang wanita. Ia juga akan tercabut secara perlahan-lahan hasil lamanya ‘berkhalwat’ di alam maya dengan seorang lelaki yang bukan mahramnya. Daripada berbincang soal biasa-biasa, terbawa kepada soal yang lebih intim dan personal.

Daripada memberi gambar anak masing-masing, aktiviti dan lain-lain yang berbentuk umum, beralih kepada menghantar gambar seorang. Dan tidak mustahil syaitan terus menipu daripada gambar yang menutup aurat kepada yang tidak menutup aurat sehingga mengepos gambar dengan aksi lucah. Semuanya mungkin dan boleh terjadi, gara-gara liciknya syaitan menipu daya.

Justeru berhati-hatilah apabila pasangan anda menghadiri majlis re-union. Pastikan tidak ada unsur yang boleh membawa kepada hubungan di luar pengetahuan anda. Mempunyai isteri atau suami bukan satu halangan untuk terbentuknya cinta terlarang. Jangan biarlah ada lelaki lain yang berani menceroboh lingkungan kuasa anda. Jangan jadi dayus. Orang dayus tidak masuk syurga.

Rasulullah telah mengingatkan para lelaki dalam khutbah yang terakhir: Lailah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.”

Maksud ‘tidak boleh memasukkan orang yang kami tidak sukai (lelaki) ke dalam rumah itu, bukan sahaja secara fizikal…tetapi juga akan ada isteri yang membawa masuk lelaki ke rumahnya melalui media sosial.  Wanita itu bercatting, bergurau, bertukar-tukar gambar bersama teman selingkuhnya dengan mesra tanpa pengetahuan suami.

Manakala maksud “ dilarang melakukan zina” sewajarnya tidak terhad kepada zina yang melibatkan kemaluan tetapi juga zina-zina yang lain seperti sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan bahagian ‘zina’ untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka ‘zina’ mata dengan melihat, ‘zina’ lidah dengan ucapan, ‘zina’ hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagi isteri, pekalah terhadap perlakuan suami anda. Jika tanda-tanda selingkuh sudah kelihatan, berbincanglah secara terbuka. Jangan sampai rumah tangga porak-peranda. Kita tidak dapat bayangkan, ada wanita yang sudah bercucu sanggup meninggalkan suaminya gara-gara bercinta dengan suami orang!

Atau bagi isteri atau suami selingkuh yang belum bertindak sejauh itu, sedarlah dalam Islam ada  yang dikatakan zina hati. Ustaz Bakhtiar Fitri, berdasarkan hadis ulama menyatakan, ‘zina’ hati berlaku apabila:

Berharap.

Membayangkan. “Membayangkan aurat sehingga merangsang syahwat dan berharap berdua-duaan yang akhirnya membawa kepada zina.”

Merasakan syahwat.

“Disebabkan itu, segala perlakuan yang boleh membawa zina, hukumnya ialah haram seperti berbual, bermesej atau WhatsApp yang bukan keperluan, melihat gambar ajnabi dan lain-lain lagi…”

Wallahua’lam.

Mudah-mudahan tulisan panjang ini memberi ilmu pada yang jahil, dan memberi amaran kepada yang degil.

gentarasa.wordpress.com/2020/0

PENGHIBUR YANG TIDAK TERHIBUR

Menurut Islam, hiburan diperlukan. Tetapi ia diperlukan dalam kuantiti yang sedikit. Maksudnya, umat Islam tidak memerlukan hiburan yang banyak apatah lagi berlebihan. Umat Islam memerlukan hiburan dalam kuantiti yang sedikit seperti kuantiti garam di dalam masakan. Perlu memang perlu, tetapi hanya sedikit. Tanpa garam, masakan akan hilang keenakannya, namun kalau  kelebihan garam, akan rosaklah makanan.

Mengapa umat Islam memerlukan hanya sedikit hiburan? Ini kerana jika semua tuntutan ajaran Islam  dilaksanakan, umat Islam akan terhibur secara otomatik. Islam itu sendiri bermakna sejahtera, maka mengamalkan keseluruhan ajaran Islam akan memberikan segala unsur yang membawa kepada kesejahteraan seperti hiburan, ketenangan, keseimbangan dan lain-lain.

Justeru, dalam ajaran Islam ada dua bentuk hiburan. Pertama, hiburan asasi. Kedua, hiburan sampingan. Kedua bentuk hiburan ini boleh juga diumpamakan seperti makanan. Ada makanan asasi, seperti nasi, ikan dan daging. Ada makanan sampingan seperti kueh-mueh, kek, coklat dan gula-gula.

Dalam ajaran Islam hiburan asasi itu seperti iman, solat, membaca Al Quran, zikrullah, berselawat dan lain-lain ibadah asas dan ibadah sunat.  Jika seseorang benar-benar beriman, jiwanya akan terhibur.  Tidak akan ada  yang boleh menjejaskan ketenangan hatinya.

Jika diuji dengan nikmat, dia syukur. Jika diuji dengan kesusahan, dia sabar. Sabar dan syukur itulah hiburan sejati kepada orang yang beriman. Iman akan menghilangkan rasa bimbang, takut, sedih dan kecewa dengan hal-hal dunia.

Begitu juga dengan solat. Ia adalah satu kerehatan pada jiwa. Bayangkan dalam solat orang beriman akan dapat merayu, mengadu, merintih dan mengharap kepada Tuhan yang Maha Kuasa, maha Penyayang dan Maha Mendengar. Solat adalah satu bentuk hubungan rasmi antara manusia yang menimbulkan rasa didengari, dibela, dibantu dan disayangi oleh Tuhannya. Jadi, tidak syak lagi solat itu adalah satu hiburan yang asasi.

Iman dan solat hakikatnya penghantar hati manusia untuk dekat dengan Allah. Apabila manusia dekat dengan Allah, dia akan mendapat ketenangan yang hakiki dan sejati. Hanya dengan kembali kepada Allah hati akan mendapat ketenangannya yang hakiki. Firman Allah:“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan tenang – Ar Ra’d:28”

Apabila hati telah tenang ia akan mendapat hiburan apabila menyembah Allah. Sabda Rasulullah saw:“Wahai Bilal, tenangkan kami dengan solat.” 

Dengan iman dan solat, seseorang akan puas dan terpesona dengan apa yang dirasainya. Ia umpama orang yang sudah kenyang makan nasi yang sangat enak, maka apakah dia perlu lagi makanan sampingan yang banyak? Maka begitu umat Islam sewajarnya, jika dia telah tenang dan terhibur dengan hiburan asasi maka dia hanya memerlukan sedikit sahaja hiburan sampingan.

Baiklah, apakah pula hiburan sampingan dalam Islam? Ia adalah hiburan-hiburan yang membantu manusia berhibur dengan hiburan asasi. Ia hanya umpama ‘epitiser’  atau pemangkin sahaja ke arah pengamalan dan penghayatan hiburan sejati. Nasyid, burdah, berzanji atau apa sahaja bentuk hiburan yang dihalalkan dalam Islam berfungsi membawa manusia kembali kepada Allah (hiburan asasi dan sejati).

Nasyid misalnya, adalah pemangkin untuk menyemarakkan hiburan yang asasi dan hakiki yang mesti diperolehi oleh seorang muslim melalui solat, zikir, Al Quran, doa, munajat, taubat, sabar, syukur dan lain-lain sifat mahmudah. Ya, solat adalah hiburan sejati, manaka nasyid mengajak orang bersolat cuma mewar-mewarkan  kepentingan solat.

Hanya apabila pendengar benar-benar bersolat, insya-Allah mereka akan menikmati hiburan yang lebih tinggi dan asyik dari nasyid tentang solat. Inilah hiburan yang digambarkan sendiri oleh Rasulullah saw melalui sabdanya: “Sejuk mataku di dunia dengan solat.”

Justeru, nasyid hanya bertindak sebagai ‘pengajak’  atau ‘pengiklan’  kepada hiburan-hiburan asasi. Oleh itu janganlah hendaknya kita terkeliru akan hakikat hiburan sejati sehingga masyarakat menganggap ‘iklan’  (hiburan sampingan) lebih penting dari apa yang diiklankan (hiburan asasi).

Di samping hiburan asasi dan hiburan sampingan, ada satu lagi jenis hiburan yang perlu disedari – hiburan melalaikan! Hakikatnya, ia bukan hiburan. Ia hanya perkara yang melalaikan atau melalikan. Ia umpama pil  ‘pain killer’ yang fungsinya bukan untuk mengubat penyakit tetapi hanya menahan rasa sakit buat sementara waktu dan apabila kesan ubat itu hilang, rasa sakit akan kembali lagi kerana punca penyakit tidak diubati.

Malangnya hiburan yang melalaikan inilah yang sangat diminati dalam dunia masakini. Lagu, filem, muzik dan lain-lain jenis hiburan masakini adalah dari jenis hiburan yang melalaikan. Masyarakat moden yang tertekan, stres dan bosan menjadi penagih hiburan ‘pain killer’ ini tanpa menyedari hati, fikiran dan emosi mereka bukan semakin terubat malah semakin parah akibat hiburan yang melalaikan ini.

Manusia hari ini ‘menikmati’ hiburan yang melalaikan seumpama meminum air laut. Oleh kerana tekak sangat dahaga, air laut terus diminum… Namun sia-sia, semakin diminum semakin haus jadinya. Maka begitulah manusia yang gilakan hiburan dewasa ini, beralih daripada satu lagu, dari satu filem ke satu filem, tetapi ketenangan yang hakiki dan abadi tidak juga ditemui. Dahaga cuma hilang sekejap, kemudian datang lagi rasa dahaga yang lebih dahsyat daripada sebelumnya!

Dunia kapitalis telah mengeksploitasi keadaan ini. Demi meraih keuntungan berlipat ganda kaum pemodal telah menjadikan hiburan melalaikan ini sebagai sumber komoditi yang melahirkan industri filem dan lagu yang kaya raya. Mereka hakikatnya meraih keuntungan yang berlipat ganda hasil sifat ketagih manusia terhadap hiburan yang melalaikan. Atas nama kreativiti dan inovasi pelbagai produk yang melalaikan terus mewarnai industri hiburan dari semasa ke semasa.

Hiburan yang melalaikan ini kebanyakannya berpaksikan kebatilan dan kemungkaran. Ia menyuburkan keinginan nafsu buas manusia yang tidak pernah puas dan tidak ada batas. Ia bukan sesuatu yang fitrah. Sebaliknya ia adalah satu fitnah yang telah banyak merosakan akidah, syariat dan akhlak Islamiah.

Apakah bukti hiburan melalaikan utu tidak menghiburkan? Jawabnya mudah, para penghibur itu sendiri tidak terhibur! Ramai diantara mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, ketagihan arak,  sakit jiwa, rumah tangga cerai-berai, diselubungi oleh pelbagai skandal,  dan sudah ramai juga yang membunuh diri. Ironinya, mereka dinobatkan sebagai penghibur… penghibur yang tidak terhibur?

Semua ini membuktikan para penghibur ini tidak terhibur. Logiknya, jika mereka sendiri tidak terhibur maka hiburan apakah yang mereka berikan kepada manusia lain? Ya, mereka bukan menghiburkan tetapi mereka hanya melalaikan. Akibatnya, mereka merosakan diri mereka sendiri sekaligus merosakkan orang lain.

gentarasa.wordpress.com/2019/1

BOIKOT SALAH SATU CARA DAKWAH?

“Kami boikot! Kami boikot kenduri-kendaranya. Baru dia tahu apa akibatnya memusuhi masjid.”
“Memusuhi masjid?”
“Ya. Dia tidak pernah datang ke masjid. Solat Jumaat pun tidak datang apalagi solat lima waktu.”
Saya diam. Dalam hati tertanya-tanya juga, bolehkah hanya kerana itu seseorang dianggap memusuhi masjid.

“Tuan tahu latar belakang beliau?”
“Maksud ustaz?”
“Maksud saya, pekerjaannya, latar belakang pendidikannya, siapa ahli keluarga dan sebagainya.”
“Macam mana kami nak tahu. Dia jadi kera sumbang. Tidak pernah hadir majlis ilmu, mesyuarat khairat kematian dan kebajikan. Pendek kata menjenguk masjidpun tidak pernah.”
“Tetapi kalau kenduri dia jemput orang masjid tak?” tanya saya lebih lanjut.

“Kami Tolak Jemputannya.”
Sebenarnya saya hanya singgah di masjid dalam perjalanan ke selatan tanah air. Selalu juga saya singgah di situ. Biasanya, selesai solat saya bingkas meneruskan perjalanan. Tetapi kali ini sahabat yang memandu tidak berapa sihat. Jadi kami beri peluang dia berehat dan saya berkesempatan berbual-bual dengan ‘orang masjid’ di situ.

“Dia hanya hantar anaknya untuk menjemput kami. Dia ingat kami teringin sangat makan kenduri di rumah besarnya itu?” balas lelaki separuh umur. Dia orang kuat masjid itu. Saya difahamkan dia ialah pengerusi masjid.
Saya senyum. Marah benar nampaknya orang masjid kepada lelaki yang dimaksudkan.
“Bila kejadian itu berlaku?”
“Kejadian apa?” tanyanya semula.

Saya tersenyum. Payah hendak mencari bahasa yang tepat apabila berbual santai begitu.
“Maksud saya, sudah berapa lama masa berlalu sejak jemputan kendurinya?”“Dah enam bulan! Tetapi sebelum itu banyak kali juga jemputannya kami tolak mentah-mentah. Kami boikot! Biar dia insaf. Masa senang tidak ingat masjid. Masa nak kenduri kesyukuran, kenduri arwah, solat hajat baru ingat orang masjid. Sudah terdesak baru ingat masjid.”

“Sejak tu ada tak dia datang? Dia insaf tak?” tanya saya. Dalam hati terasa bersalah juga menggunakan ayat ‘dia insaf tak?’. Seolah-olah melabel, menghukum. Sedangkan soal insaf atau tidak itu soal hati. Soal hati hanya Allah yang tahu.
“Masih begitu-begitu juga. Degil! Jahil!”
“Ertinya boikot tuan-tuan tidak berkesan.”
“Orang dah jahil. Buat apa pun tak berkesan,” ujarnya sambil mencemik.

“Saya cadangkan ubah taktik, tukar strategi. Mungkin boleh berkesan,” cadang saya.

Masa masih panjang. Sahabat saya yang tidak sihat masih tenang berbaring dan melunjurkan badan. Masa yang ada ini ingin saya manfaatkan untuk berdakwah.
Berdakwah kepada orang masjid tentang cara berdakwah. Saya sendiri pernah tersalah dan khilaf memahami sasaran dakwah. Hikmah dalam berdakwah ialah gabungan ilmu dan pengalaman. Dan pengalaman boleh ditambah dengan perkongsian. Bukan mengajar, tetapi mengajak. Dont tell, but show!
“Strategi apa? Taktik yang bagaimana?”

Saya masih ingat pesan orang yang bijaksana, jika kita tidak menukar cara berfikir dan cara pandang kita dalam menghadapi masalah, maka masalah itu tidak akan dapat diselesaikan. Perlu tukar cara berfikir dan membuat tanggapan, insya-Allah baru kita akan mendapat hasil yang berbeza. Tetapi jika cara berfikir tetap sama, maka kita akan dapat hasil yang sama walaupun telah mencuba berkali-kali.

“Jika ada jemputan lagi daripada dia, pakat ramai-ramai pergi. Penuhi jemputannya.”
“Tak logik. Lagilah dia akan naik kepala. Dah boikotpun masih degil. Apalagi kalau kita layan. Saya rasa taktik ini tidak berkesan.”
“Tidak salah kalau kita mencuba, kan?” ujar saya terus mencuba.
Sayangnya saya hanya musafir yang singgah. Jika saya ahli kariah mahu rasanya menziarahi ‘beliau’ yang dimaksudkan itu.

“Apa yang perlu dilakukan ketika memenuhi jemputan itu?”
Tiba-tiba seorang lelaki di sebelahnya menyampuk. “Soalan yang bagus,” detik hati saya.
“Macam biasa. Makan-makan, berdoa kemudian bersembang-sembang. Dalam sembang itulah kita selitkan ilmu dan peringatan. Mudah-mudahan kalau dia tidak ada ilmu, dapat kita buat pengisian. Kalau dia ada ilmu tetapi terlalai, jadi peringatan. Yang penting perlu bina jambatan!”

Saya teringat satu ilmu dakwah yang saya terima daripada seorang guru di sebuah sekolah yang terkenal bermasalah. Namun guru tersebut sangat disukai para pelajar. Banyak kali dia menyelesaikan masalah disiplin pelajarnya.

Apabila saya bertanya tentang kaedahnya berdakwah, dia berkata, “Dalam dakwah kepada pelajar-pelajar ini saya guna tiga langkah. Pertama salam, beri salam. Kedua ta‘am, ajak makan-makan dan ketiga kalam, baru kita bercakap dengannya.”
Taktik inilah yang saya cuba kongsi bersama orang masjid di hadapan saya sekarang.

“Bina jambatan? Apa maksud ustaz?” tanya salah seorang daripada mereka. Ingatan saya terputus, dan kembali fokus kepada perbualan yang sedang rancak ini.
“Bina jambatan. Selama ini kita bina tembok. Jambatan menghubungkan, tembok memisahkan. Dalam dakwah perlu kita bina jambatan bukan bina tembok. Kita perlu interaksi bukan konfrontasi.”

“Bagus juga,” balas lelaki yang menyampuk tadi. Namun lelaki yang pertama masih memandang sinis. Mungkin masih sangsi agaknya.
“Dalam sembang-sembang santai itu nanti kita akan mengetahui latar belakangnya. Tahap mana kefahaman agamanya. Kadangkala, dia akan bercerita tentang hambatan dan masalah hidupnya. Siapa tahu selama ini bukan kerana dia memusuhi masjid tetapi kerana dia malu, segan, rasa rendah diri dengan orang masjid atau hal-hal lain.”

“Kita perlu cepat. Kalau macam tu habis masa. Kita perlu dakwah yang berkesan.”
“Betul,” ujar saya, “… tetapi dakwah hanya menyampaikan. Soal berkesan atau tidak terpulang kepada Allah. Kita selalu nak orang yang kita seru cepat berubah… itu tidak tepat. Selama ini dengan menggunakan strategi boikot pun dia masih tidak berubah. Panjang juga masa yang kita ambil dalam strategi boikot ini kan?”
Mereka diam.

“Manusia ini masalahnya macam-macam. Jalan hidup mereka juga rencam. Pendakwah mesti ambil langkah memahami kemudian baru difahami. Ada yang beranggapan untuk menjadi pendakwah perlu pandai bercakap. Ya, ada benarnya. Tetapi sebenarnya, menjadi pendakwah perlu pandai mendengar. Bukan hanya pandai tetapi perlu banyak mendengar. Dengan banyak mendengar kita akan memahami. Setelah memahami barulah kita akan difahami.”

“Bagaimana kita hendak difahami kalau tidak bercakap, asyik mendengar sahaja, mana orang faham.”

Saya tersenyum. Tidak syak lagi dakwah bukan sahaja memerlukan hati yang ikhlas tetapi juga pendekatan yang profesional. Inilah yang dimaksudkan bil-hikmah, mau‘izah al-hasanah dan jadilhum billlati hiya ahsan.

“Apabila kita dahulu menjadi pendengar yang baik, insya-Allah lama-kelamaan ruang dan peluang untuk kita memperdengarkan pula kata-kata kita akan terbuka. Sewaktu itu dia akan mendengar dengan rela. Dalam komunikasi bersama sasaran dakwah kita, elakkan keadaan seperti dalam perlumbaan. Perlumbaan bercakap. Itu tidak baik. Yang baik, mendengar bukan untuk membalas tetapi mendengar untuk memahami. Insya-Allah komunikasi akan jadi sebagai satu perkongsian, bukan perlumbaan,” kata saya.

“Lambat, kita tidak cukup masa.”
“Betul. Sebab itu berdakwah perlu pengorbanan. Pengorbanan masa,” balas saya.
Ahli masjid yang lain mengangguk-angguk. Saya berdoa agar cakap saya itu difahami lebih tepat dan lebih baik daripada apa yang telah saya sampaikan.

Sebenarnya saya risau juga mendengar aduan-aduan masyarakat sama ada yang disuarakan secara berdepan atau cuma dibisikkan di belakang-belakang tentang ‘kerenah’ orang masjid.

Ada yang rajin ke masjid, setiap lima waktu tetapi tidak bertegur sapa dengan jiran sebelah rumah. Jiran sakit, jiran sempit dan tidak dipedulikan. Apa yang difikirkannya hanya hubungannya dengan Tuhan, padahal hubungan dengan Tuhan adakala perlu melalui hubungan sesama insan.

Ada yang rajin ke masjid, tetapi bengis dengan isteri. Saya masih ingat cerita yang saya dengar daripada Allahyarham Mantan Mufti Wilayah Persekutuan; Dato’ Hashim Yahya, tentang seorang suami yang berserban dan berjubah, konsisten datang berjemaah di masjid tetapi pantang isterinya silap sedikit, penampar dan sepak terajangnya pun singgah. Itu belum dikira ahli masjid yang berang dan memaki-maki apabila ada yang salah meletakkan kenderaan di hadapan rumahnya.

Saya sentuh perkara ini bukan bermakna majoriti orang masjid perangainya begini. Tidak! Lebih ramai yang lunak, mesra dan sedia membantu. Namun dalam era orang suka menghentam agama ini, kita tidak boleh membiarkan kerenah orang masjid yang segelintir itu dijadikan modal untuk menyerang agama. Agama selalunya diserang kerana kelemahan dan kesalahan orang agama.

“Apa nasihat akhir ustaz?” pinta seorang lelaki yang lain, apabila melihat saya menoleh ke belakang melihat sahabat saya yang kurang sakit tadi telah bangun. Dia tahu saya akan meneruskan perjalanan sebentar lagi.

“Nasihat saya buat diri sendiri dan kita yang telah Allah beri hidayah dapat datang ke rumah Allah ini. Jadilah contoh yang baik dengan menunjukkan akhlak yang mulia. Insya-Allah, orang akan tertarik.

Kalau dulu kita pemarah, kita berubah jadi sabar dan penyayang. Dahulu tidak pembersih, sekarang sudah jadi pembersih. Orang yang melihat akan bertanya, apa rahsia kita jadi begitu? Pada waktu itulah peluang untuk kita menerangkan bahawa itulah hasil istiqamah ke masjid.

Masjid umpama kilang memproses hati dan diri manusia untuk jadi baik. Waktu itu kita ajak sedikit sahaja, maka berduyun-duyun orang yang akan datang. Mereka lihat impak. Itulah dakwah ‘bil hal’ (teladan) bukan dakwah ‘buat hal’,” terang saya panjang.

Kami sama-sama tersenyum. Saya dan sahabat meneruskan perjalanan dan mereka kembali ke dalam masjid. Ya, selalu dikatakan perjalanan ke masjid bukan ditentukan oleh langkah kaki, tetapi langkah hati. Dan hati itu dilunakkan dengan kasih sayang. Dengan pujukan, bukan kutukan. Dengan membina jambatan, bukan tembok!

gentarasa.wordpress.com/2019/1

Asalamu'alaikum semua. Mari kita luangkan masa sekejap untuk mengulang kaji demi memperbaiki ibadah kita kepada Allah. Mudah2an diterima segala amal kita.

*"13 RUKUN DALAM SOLAT"*

Dalam 13 rukun solat itu terdapat 3 rukun khusus

Ramai yang solat tetapi ramai juga yang solat ikut ikutan dan tidak berapa faham cara solat yang sebenar yang boleh menjejaskan sah solat kita.

_*Rukun solat ada 13:*_

*1) Niat*
*2) Berdiri dengan betul*
*3) Takbiratul ihram*
*4) Membaca Al Fatihah*
*5) Rukuk*
*6) I’tidal*
*7) Sujud*
*8). Duduk antara 2 sujud*
*9) Bacaan tahiyat akhir*
*10) Duduk tahiyat akhir*
*11) Selawat dalam tahiyat akhir*
*12) Salam*
*13) Tertib*

Dalam 13 rukun itu dipecahkan kepada 3 bahagian

1) Rukun Qalbi iaitu rukun ke atas pekerjaan hati
2) Rukun Fi’li iaitu rukun ke atas perbuatan atau gerak kerja
*3) Rukun Qauli iaitu rukun ke atas ucapan atau kata-kata di mulut.*

*Majoritinya ramai dari kita faham dan lulus 2 rukun pertama iaitu Rukun Qalbi dan Rukun Fi’li dan ramai yang melanggar Rukun Qauli terutamanya ke atas mereka yang menjadi makmum dalam solat.*

*Kesalahan Rukun Qauli Yang Selalu Di Langgar Dalam Solat*

*Ramai dari kita tidak kira samada ketika bersolat sendirian mahupun ketika berjemaah kita selalu membaca bacaan-bacaan solat di dalam hati*
*Kita ingat dengan bersolat begitu kita rasa kita sah tapi kita khuatir ianya tidak sah*.

*Ada juga yang seperti membaca di bibir tetapi rupa-rupanya hanya bunyi angin yang keluar dari mulut yang tidak* *mengeluarkan bunyi bacaan (Hanya bunyi angin sahaja).*

*5 Rukun Qauli yang selalu kita langgar di dalam solat:*

*1) Tidak takbir ‘Allahu Akbar’ dengan menyebut atau melafaz jelas di bibir*

*2) Tidak membaca Al Fatihah secara lafaz*

*3) Tidak membaca Tahiyat Akhir secara lafaz*

*4) Tidak membaca selawat secara lafaz di rakaat terakhir*

*5) Tidak memberikan salam* *‘Assalamualaikum Warahmatullah’ dengan secara lafaz*

*Apa Maksud “Menyebut Dan Melafaz?*

*Dalam Rukun Qauli kita perlu menyebut atau melafaz bacaan yang perlu kita sebut dan lafazkan sehingga terdengar pada telinga kita sendiri.*

*Cukup sekadar untuk telinga kita sendiri dan tidak wajib ke atas semua bacaan solat tetapi pada 5 tempat:*

*1) Semasa Takbiratul Ihram*
*2) Semasa membaca Al Fatihah*
*3) Semasa Tahiyat Akhir*
*4) Semasa membaca selawat pada rakaat terakhir*
*5) Semasa lafaz salam*

*Oleh itu, perbaiki segera 5 Rukun Qauli ini untuk menjadikan solat kita tidak sah dan sempurna*

*Jika solat yang selama ini kita lakukan tidak sempurna atau tidak sah, perlulah kita segera:*

*1. Taubat mohon keampunan dari Allah dan jangan di ulangi lagi kesalahan yang sama*

*2) Tuntut ilmu, belajar, ulangkaji, jangan melenting apabila di tegur, perbaiki diri dan kesilapan lalu*..

*Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Pengampun*

*Carilah ilmu yang sebenar dan beramal dengannya agar tidak rugi di dunia apatah lagi di akhirat nanti.*

Qoto Mastodon

QOTO: Question Others to Teach Ourselves
An inclusive, Academic Freedom, instance
All cultures welcome.
Hate speech and harassment strictly forbidden.